Horizontal Dropdown Menu HTML by Css3Menu.com

 
 
 
 

 
09.08.2014 ...... Kejohanan Balapan & Padang SMJK Yuk Choy, Ipoh kali ke-51 telah berjaya diadakan di padang sekolah pada hari Sabtu 9hb Ogos 2014. Tahun ini, En. Kwan Foh Kwai, Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah telah merasmikan kejohanan pada pagi itu bersama-sama dengan Yang Dipertua PIBG En. Chong Min Hin, En. Chan Hen Huan, Pengetua SMJK Yuk Choy, ahli-ahli lembaga dan PIBG.

Kejohanan yang bermula 7.30 pagi menyaksikan 10 kontigen Pasukan Unit Beruniform dan Rumah Sukan mengambil bahagian dalam pertandingan perbarisan dan persembahan kawad formasi. Setiap pasukan Rumah Sukan diiringi oleh maskot iaitu watak animasi kartun. Kesemua pasukan perbarisan telah berjaya memberikan persembahan yang menarik dan menunjukkan semangat kesukanan. Selepas itu, acara kejohanan diteruskan dengan pemeriksaan perbarisan oleh dif-dif jemputan dan uparaca menaikkan bendera kejohanan.
 

 
Untuk gimik perasmian, En. Kwan Foh Kwai telah melepaskan satu das tembakan sebagai perasmian kejohanan kali ke- 51. Pada pagi itu, kita juga dapat menyaksikan persembahan Tarian Naga dari Pasukan Chin Woo sekolah dan Gendang Cina 24 Musim. Turut memeriahkan kejohanan adalah Pertandingan Hiasan Khemah Rumah Sukan.

Pada pagi itu, En. Kwan Foh Kwai, telah menyampaikan pingat kepada pelajar kita, iaitu Ivy Choo Yean Nie dari kelas 5S1 yang telah memenangi pingat emas dalam 'World Taekwando Championship' di Italy baru-baru ini. Beliau seorang pelajar yang aktif dalam taekwando.

Acara yang dipertandingkan pada kejohanan hari itu adalah larian 100m, 200m dan 4x200m (akhir) antara Rumah Sukan. Sekolah-sekolah jemputan juga turut hadir untuk mengambil bahagian dalam acara 4x200m (lelaki dan perempuan). Pertandingan Tarik Tali antara Rumah Sukan juga telah berjaya dijalankan.
 

 
Dalam acara untuk pegawai, kita dapat menyaksikan guru-guru, ibubapa dan dif-dif jemputan mengambil bahagian dalam sukaneka.

Kejohanan pagi itu, diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada semua pemenang dan persembahan tarian moden. Keseluruhannya, kita dapat menyaksikan kemeriahan Kejohanan Balapan & Padang SMJK Yuk Choy kali ke-51 dan sepanjang kejohanan ini berlangsung, para pelajar telah berjaya mewujudkan semangat kesukanan dan menonjolkan bakat dan kebolehan dalam bidang olahraga.

Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan kejohanan tahun ini.
 
 
 
Hakcipta © 2014 - 2016 SMJK Yuk Choy, Ipoh.