Horizontal Dropdown Menu HTML by Css3Menu.com

 
 
 
 

 
16.05.2014 ...... Tanggal 16 Mei 2014 merupakan tarikh yang amat bermakna bagi warga pendidik SMJK Yuk Choy kerana sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah telah dijalankan. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi’. Hari Guru pada tahun ini disambut dengan sederhana tetapi meriah. Pelbagai program telah dirancang agar hari tersebut memberi seribu kenangan kepada warga sekolah.

Seawal 7.15 pagi, para pelajar telah berkumpul di tapak perhimpunan. Perhimpunan rasmi sekolah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Seperti biasa, bacaan perutusan daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia telah dibacakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran iaitu Encik Wong Soon Cheong. Antara amanat yang disampaikan adalah berkaitan cabaran guru dalam mencetus kreativiti dan seterusnya menjana inovasi dalam sistem pendidikan negara. Hal ini selaras dengan hasrat negara untuk merealisasikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing. Seterusnya perhimpunan pagi diakhiri dengan nyanyian lagu sekolah oleh warga SMJK Yuk Choy.

Pada tahun ini, terdapat dua aktiviti wajib yang telah disarankan oleh Jabatan Pendidikan Perak bagi memeriahkaan lagi sambutan Hari Guru. Pihak sekolah diminta menyediakan sebidang kain berukuran 5 kaki dan mempunyai bidang 45 inci berwarna putih dan seterusnya semua murid diminta menulis ucapan Selamat Hari Guru mengikut kreativiti masing-masing menggunakan pen marker. Di atas kain itu juga perlu dituliskan nama sekolah dan tema Hari Guru 2014. Selain itu, pihak sekolah juga diminta menyediakan sebuah buku folio dan seterusnya meminta semua murid meluahkan perasaan masing-masing terhadap guru mereka. Aktiviti ini telah dijalankan di pintu masuk dewan sekolah. Ramai pelajar mengambil peluang untuk menulis di atas kain rentang dan meluahkan perasaan mereka.
 

 
Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah diteruskan lagi dengan perlawanan persahabatan bola sepak lelaki antara pasukan guru dan pasukan sekolah. Perlawanan kali ini menyaksikan kesungguhan pasukan guru untuk menewaskan pasukan sekolah. Namun, nasib tidak menyebelahi pasukan guru kerana tewas mudah di tangan pasukan sekolah dengan mata 4-0. Walaupun mengalami kekalahan tetapi kemeriahan dan semangat kerjasama yang ditonjolkan oleh setiap pasukan amat membanggakan. Teruskan usaha pada tahun hadapan.

Aktiviti bagi guru wanita juga tidak kurang meriahnya. AJK Kelab Guru telah merancang pertandingan membuat sandwich. Sebanyak 8 kumpulan telah mengambil bahagian. Pelbagai aksi dan kreativiti yang telah ditunjukkan oleh pasukan masing-masing. Setiap kumpulan terdiri daripada 4 orang ahli. Kakitangan sokongan dan pelajar juga mengambil bahagian. Menu yang perlu disediakan oleh setiap pasukan ialah menu berasaskan tuna, sardin dan telur. Penghakiman pula dibuat berdasarkan masa, rasa, hiasan dan kebersihan. Masa pertandingan ialah selama 30 minit. Pertandingan ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada kumpulan Cik Noranis daripada kakitangan sokongan. Tempat kedua pula dimenangi oleh kumpulan En. Kamaruddin manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Pn. Shariah.
 

 
Pada pukul 10.00 pagi, para pelajar diberi rehat selama setengah jam untuk makan dan minum di kantin. Selepas itu, acara di dewan sekolah akan bermula. Tepat pada pukul 10.45 pagi, pelajar telah berkumpul di dewan. Semua guru diarah masuk ke pentas utama dengan iringan tarian singa. Acara diteruskan dengan bacaan ikrar yang ketuai oleh pengetua sekolah iaitu En. Chan Hen Huan. Guru-guru seterusnya menyanyikan lagu ‘Guru Malaysia’ dengan penuh semangat. Selesai nyanyian lagu, acara memotong kek telah disempurnakan oleh pihak pentadbir. Kemudian sesi pemberian hadiah oleh pengawas kepada semua guru. Selepas itu, para guru mengambil tempat di belakang dewan. Acara diteruskan pula dengan persembahan pelajar. Antara persembahan tersebut ialah persembahan nyanyian, tarian dan persembahan Wushu. Sketsa pelajar dengan meniru perwatakan beberapa guru disiplin telah mendapat tepukan yang gemuruh. Persembahan pelajar berakhir pada pukul 12.00 tengah hari.

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah berakhir dengan jamuan makan tengah hari di foyer perpustakaan. Semua guru mempamerkan wajah yang ceria dan berharap agar sambutan lebih meriah akan dijalankan pada tahun berikutnya demi menghargai jasa insan yang bernama ‘guru’.
 
 
 
Hakcipta © 2014 - 2016 SMJK Yuk Choy, Ipoh.