Horizontal Dropdown Menu HTML by Css3Menu.com

 
 
 
 

 
21.11.2014 ...... Majlis Jamuan Akhir Tahun bagi warga SMJK Yuk Choy telah berlangsung di Hotel Seri Malaysia pada 21 November 2014. Majlis ini merupakan aktiviti tahunan bagi Kelab Guru dan Staf. Majlis yang bertemakan "Red, Gold and Green" ini berlangsung dalam suasana yang santai tetapi meriah.

Jamuan Akhir Tahun kali ini turut meraikan dua orang guru yang baru bersara iaitu Pn. Shariah Ismail dan guru yang  akan bersara iaitu En. Chong Swee Fah. Selain itu, para VIP yang telah hadir ialah En. Kwan Foh Kwai, JMN, selaku Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah, En. Chong Min Hin selaku YDP PIBG, En. William Chan selaku Naib YDP dan beberapa AJK PIBG yang lain. Guru-guru yang telah bersara pada tahun ini juga turut hadir di samping guru-guru dan kaki tangan yang telah berpindah.
 

 
Majlis ini cukup meriah dengan gelak tawa dan gurauan apabila pelbagai permainan dan kuiz dijalankan sepanjang majlis ini berlangsung. Antara permainan yang mendapat sambutan meriah ialah kuiz individu yang mana hadirin diminta untuk menjawab soalan kuiz dengan menghantar jawapan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Selain itu terdapat juga permainan secara berkumpulan. Setiap kumpulan diminta mengeluarkan gambar pasangan dan keluarga yang terdapat di dalam ‘purse’ dan ‘wallet’ masing-masing. Suasana menjadi kecoh apabila semua kumpulan berusaha untuk menunjukkan gambar yang ada termasuklah gambar yang terdapat pada kad pengenalan mereka. Hadiah lumayan telah disediakan untuk setiap pemenang sama ada secara individu mahu pun berkumpulan. Tambahan pula sesi cabutan bertuah telah diadakan sepanjang majlis ini berlangsung. Hal ini menimbulkan keseronokan dan keterujaan kepada hadirin yang hadir di samping mereka menjamu selera dengan juadah yang lazat dan menarik.

Tulang belakang dan nadi kepada majlis ini tentulah terletak di bahu Kelab Guru dan Staf. En. Rohiman selaku juruacara majlis pada malam tersebut amat memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan suasana yang meriah dan dapat menghiburkan hadirin. Syabas diucapkan kepada Kelab Guru dan Staf atas kejayaan menganjurkan dan menjayakan majlis pada malam tersebut.

 

 

Kemuncak acara pada malam tersebut ialah apabila juruacara mengumumkan pemenang "King Of The Night" dan "Queen Of The Night". Hadirin yang hadir telah diminta untuk membuat undian dalam pemilihan tersebut. Gelaran tersebut akhirnya telah diberikan kepada En. Wong Soon  Cheong dan Cik Anis.

Majlis Jamuan Akhir Tahun ini tamat pada pukul 11 malam. Walaupun terpancar keletihan pada wajah hadirin yang hadir terutamanya AJK Kelab Guru dan Staf, namun kemeriahan dan kegembiraan tetap dapat dirasai. Selamat bercuti kepada semua guru SMJK Yuk Choy dan semoga berjumpa lagi pada tahun 2015 nanti.

 
 
 
Hakcipta © 2014 - 2016 SMJK Yuk Choy, Ipoh.