Horizontal Dropdown Menu HTML by Css3Menu.com

 
 
 
 


Salam sejahtera dan salam Satu Malaysia. Terima kasih diucapkan kepada semua pengunjung portal sekolah kami. Terima kasih juga dirakamkan kepada pasukan AJK portal sekolah yang telah bertungkus lumus menjayakan portal ini.

Pendidikan menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara. Memang tidak dinafikan bahawa sekolah kita memainkan peranan yang afdal dalam mendidik generasi yang akan datang. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anggota masyarakat dan ibu bapa yang telah memberi sokongan dan kerjasama yang sepenuhnya sepanjang masa ini. Pencapaian ini dibuktikan dengan peningkatan prestasi dari segi akademik dan kokurikulum.

Untuk mentransformasikan imej sekolah kita sebagai sekolah yang cemerlang, pihak sekolah komited dalam usaha pembaharuan dan transformasi melalui pelbagai program. Selain itu, pihak sekolah berharap agar pendidikan sekolah kita dapat mencapai matlamat Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar.

Prestasi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2012 telah mencapai kemajuan atas usaha pihak sekolah dan guru- guru. Dengan itu, Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara Perak Darul Ridzuan menganugerahi sekolah kita Sijil Penghargaan Anugerah Cemerlang SPM 2012 Kategori Peningkatan Kuantiti dan Peningkatan GPS. Dalam konteks ini, terbuktilah bahawa sekolah kita dapat melahirkan pelajar cemerlang.

Pada tahun ini, pihak sekolah melaksanakan dasar baru, iaitu mewajibkan pelajar sesi pagi menjalankan aktiviti kokurikulum selepas waktu persekolahan setiap hari Selasa. Bagi pelajar sesi petang, aktiviti kokurikulum dijalankan sebelum waktu persekolahan. Langkah ini bertujuan untuk memastikan pelajar dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah di samping mengumpul markah kokurikulum.

Pihak sekolah juga turut mengambil langkah untuk mendisiplinkan pelajar iaitu melalui pelaksanaan sistem demerit. Saya berharap agar para ibu bapa dapat memberi kerjasama yang sewajarnya kepada pihak sekolah dalam usaha meningkatkan prestasi akademik dan kokurikulum.

Melangkah ke era baru sudah pastinya memerlukan transformasi untuk berubah seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin berkembang. Dengan itu diharapkan portal ini dapat membantu menyampai dan menyalurkan maklumat sekolah, aktiviti, program serta perkembangan sekolah kita dengan cepat dan berkesan kepada semua pihak.

Akhir kata, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk menuju kecemerlangan demi kebaikan dan kejayaan anak-anak didik kita. Sekian, terima kasih.

 
 
 
Hakcipta © 2014 - 2016 SMJK Yuk Choy, Ipoh.